LANGSAIKAN HUTANG - Khutbah Jumaat JAIS 4 September 2020

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..


Dalam post pada kali ini saya nak kongsikan isi kandungan Khutbah Jumaat bertajuk "LANGSAIKAN HUTANG" yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk bacaan pada 4 September 2020.


Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada semua pembaca blog ini.


Sumber : Klik Di Sini


“LANGSAIKAN HUTANG” 




Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, 

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.  


Khatib menyeru sidang Jemaah  sekalian untuk menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk “LANGSAIKAN HUTANG”.                                                   

  1. Al-Baqarah : 280. 
  2. Ali Imran: 102.


Hadirin Jemaah yang dirahmati Allah sekalian, 


Islam mengharuskan seseorang berhutang duit dengan orang lain atau institusi kewangan Islam. Kerana tidak semua orang mempunyai kecukupan wang dalam kehidupan seharian atas pelbagai faktor. Manusia itu pelbagai latar belakangnya, ada yang kaya dan memiliki aset, dan ada pula yang yang tidak cukup untuk keperluan hariannya. 


Maka bagi yang mempunyai kekangan kewangan ada keperluan untuk membuat pinjaman dan pembiayaan, dengan syarat ia bukan untuk tujuan bermewah dan mestilah menjauhi riba. Bahkan syariat Islam menggalakan pula bagi yang berkemampuan untuk memberi hutang sebagai cara menolong sesama manusia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang melepaskan kesukaran mukmin yang lain daripada kesukaran dunia maka Allah akan melepaskan kesukarannya pada hari kiamat, dan sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat”
(Riwayat Muslim)   


Hadirin Jumaat sekalian, 

Kita sedia maklum bahawa dunia telah dilanda penularan wabak COVID-19. Ia telah merebak termasuklah ke negara kita. Wabak ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kesihatan, malah keadaan ekonomi negara telah turut terjejas berikutan pelaksanaan PKP pada Mac lalu. Ramai dalam kalangan kita yang terkesan dan mengalami kesempitan wang apabila sumber pendapatan mula terjejas kerana gaji dipotong dan hilang punca pendapatan.  

 

Menjangkakan kesulitan yang dihadapi sejak awal pelaksanaan PKP lagi, maka pihak kerajaan telah mengumumkan pemberian moratorium iaitu penangguhan pembayaran ansuran pembiayaan secara automatik selama 6 bulan. Langkah ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 280: 


 “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya”  

 

Sumber : Klik Di Sini


Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Alhamdulillah dengan izin Allah, langkah PKP yang diambil oleh Kerajaan telah membuahkan hasil. Aktiviti ekonomi di negara kita juga sedang dalam proses pemulihan.  


Tempoh penangguhan pembayaran ansuran pembiayaan yang diberikan juga hampir tamat. Bermula bulan Oktober ini, kita perlu menyambung semula pembayaran ansuran pembiayaan seperti biasa. Justeru, bagi memudahkan urusan kewangan kita, Khatib ingin menasihatkan sidang Jemaah sekalian supaya segera membuat persiapan. Usahlah tunggu sehingga tamat tempoh moratorium. Ambillah langkah-langkah persiapan bermula dari hari ini, seperti: 

i. Menyemak semula kedudukan kewangan untuk keperluan harian; 

ii. Menghubungi pihak bank untuk menyemak bayaran ansuran bulanan yang tertangguh yang perlu dijelaskan selepas tempoh moratorium tamat; 

iii. Berbincang dengan pihak bank tentang pelan bayaran ansuran pembiayaan yang baharu bersesuaian dengan kemampuan masingmasing sekiranya perlu; ataupun iv. Mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi-agensi Kerajaan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi individu dan Skim Resolusi Hutang Kecil bagi PKS.  

 

Hadirin sekalian, 


Sebagai umat Islam, persediaan awal perlu dilakukan bagi memudahkan kita melunaskan hutang dan membayar balik pembiayaan yang telah kita ambil. Langsaikanlah hutang yang menjadi tanggungjawab kita dan usahlah bertangguh-tangguh kerana ia merupakan perbuatan yang zalim sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda:  


 

“Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak (membayar hutang) adalah zalim”. 

 (Riwayat al-Bukhari). 

 

Rasulullah SAW juga pernah mengkhabarkan berkenaan pertolongan Allah kepada golongan manusia yang mempunyai niat yang tulus untuk membayar hutangnya kembali sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun Sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya”. 

(Riwayat al-Bukhari). 



Peri pentingnya membayar hutang juga telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran bahawa pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak hanya boleh dibuat setelah dilaksanakan wasiat dan dilunaskan hutang yang ditanggung oleh simati. Malah Baginda Nabi SAW juga pernah enggan mendirikan solat jenazah ke atas seseorang yang masih menanggung hutang kepada manusia lain sehinggalah seorang sahabat Nabi sanggup menjadi penjamin untuk melunaskan hutang tersebut, barulah Baginda bersedia meneruskan solat ke atas jenazah berkenaan.   

 

Hadirin Jemaah yang dikasihi Allah sekalian, 


Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati intipati khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu: 

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala musibah merupakan satu bentuk ujian oleh Allah SWT bagi menguji keimanan para hamba-Nya. 

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa berhutang dan mengambil pembiayaan merupakan satu bentuk muamalat yang diharuskan, manakala membayar balik pembiayaan adalah dituntut oleh Syarak. 

3. Umat Islam hendaklah berdisiplin untuk melunaskan tanggungjawab hutang.

 

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan. 

 (Al-Baqarah: 245)  





KHUTBAH KEDUA 

 


Hadirin yang berbahagia, 


Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung. Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis rentas kalimah لا إله إلا الله, prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan alHadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh. 


Dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19 ini, setiap Jemaah  diminta terus berdisiplin dan wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka (face mask) ketika hadir di Masjid dan Surau serta mengamalkan penjarakan fizikal. Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di Masjid dan Surau. 


Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah  mengurniakan  kami  rahmat   dan keberkatan kepada negeri ini yang terus sejahtera dan maju, serta rakyatnya bersatu padu, dibawah naungan dan pimpinan raja kami sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini. 


Ya Allah, lindungilah kami daripada bala bencana dan wabak penyakit seperti Covid-19. ََ

Aamiin..

Aamiin..

Ya Rabbal Alamin..


Semoga Isi Kandungan Khutbah Jumaat pada kali ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada semua.

Doakan semoga ekonomi umat-umat Islam di seluruh Malaysia dan seluruh dunia menjadi semakin bertambah baik.

In Shaa Allah... Aamiin...


Info Berkaitan: